Header Ads

Ramai Hadapi Masalah Pendengaran Kerana Kerja

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA



PUTRAJAYA: Masalah pendengaran akibat terdedah kepada bunyi bising di tempat kerja adalah antara penyakit yang paling banyak dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata selain masalah pendengaran, penyakit lain yang sering dialami disebabkan oleh pekerjaan adalah ergonomik (masalah berkaitan sendi, tulang dan otot) serta keracunan akibat terdedah kepada bahan kimia di tempat kerja.

“Apa yang penting, majikan perlu lapor jika ada sebarang kejadian penyakit akibat pekerjaan yang menimpa pekerja mereka. Kita jangka banyak sebenarnya kes berlaku tetapi tidak dilapor, sekali gus tidak membolehkan analisis dibuat dan langkah pencegahan menjadi kurang.

“Selain itu, di pihak pekerja pula, apabila mengalami penyakit dan ia disebabkan oleh pekerjaan, mereka dinasihatkan untuk melaporkannya.

“Beritahu kepada doktor yang merawat supaya mereka tahu penyakit berpunca daripada pekerjaan anda dan seterusnya doktor berkenaan boleh melaporkan kepada pihak berwajib supaya kita tahu jika penyakit itu datangnya akibat kecuaian dan kelalaian majikan atau sebaliknya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pra Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Tempat Kerja 2019 di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah JKKP, Omar Mat Piah.

Dalam pada itu, Omar berkata JKKP menjangkakan jumlah penyakit akibat pekerjaan yang berlaku di negara ini tinggi jumlahnya, bagaimanapun laporan yang diterima tidak banyak.

Beliau menjelaskan, jumlah penyakit akibat pekerjaan yang dilaporkan pada 2016 dan 2017 masing-masing adalah 7,820 kes dan 6,020 kes berbanding kira-kira 40,000 kemalangan di tempat kerja yang dilaporkan.

“Masalah tidak lapor ini memang berlaku di banyak negara dan kesedaran mengenai pentingnya melaporkan perkara itu perlu dipertingkatkan.

Selain itu, sejak Januari hingga Februari lalu, sebanyak 13,000 notis dan 98 kompaun berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dikeluarkan selain sebanyak 14 kes pendakwaan di mahkamah dibuat,” katanya.

SUMBER - BERITA HARIAN


LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?