Penyelarasan Kurikulum Sains Setanding Negara Maju
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - NSTP/Aziah Azmee |
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan melakukan penyelarasan kurikulum Sains dan Matematik bagi memastikan kurikulum dilaksanakan setaraf negara maju, sekali gus meningkatkan minat pelajar terhadap aliran sains di negara ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata kementerian juga membangunkan modul pembelajaran Sains dan Matematik selaras Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Selain itu, katanya, menyediakan program vokasional menengah atas di 112 buah sekolah menengah supaya memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar dalam bidang sains.
“Kementerian Pendidikan giat mengatur dan memperkasa strategi untuk meningkatkan minat pelajar terhadap aliran sains di negara ini,” katanya menjawab soalan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah persediaan dirancang ke arah penggabungan aliran sains dan sastera pada peringkat sekolah menengah.
Nie Ching berkata sistem pendidikan menengah atas dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mulai 2020 menyediakan peluang kepada pelajar untuk memilih laluan dalam pelbagai mata pelajaran.
Katanya, kementerian menyediakan pakej mata pelajaran yang sesuai dengan minat dan kecenderungan murid.
Beliau berkata, pakej ini dicadangkan untuk membolehkan murid mengenal pasti dan memilih mata pelajaran yang bersesuaian mengikut minat, kecenderungan, kebolehan serta potensi dalam konteks Sijil pelajaran Malaysia (SPM).
“Ia bertepatan syarat kelayakan ditetapkan pihak Universiti Awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) atau menceburi bidang kerjaya pilihan,” katanya.
SUMBER - BERITA HARIAN
Post a Comment