PH Tetap Pertahan Prinsip Islam, Melayu
Dr Wan Azizah bersama Anwar melaungkan perkataan Reformasi pada sambutan Ulang Tahun Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Pekan Rantau pada PRK DUN Rantau, malam tadi. - Foto BERNAMA |
SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) tetap mempertahankan prinsip Islam dan Melayu serta berjuang bersungguh-sungguh untuk mewakili seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ada pihak tertentu menyatakan kononnya PH seolah-olah cuai dan longgar pendekatannya dalam hal Islam dan Melayu.
"Saya tegaskan prinsip PH yang dimeterai tetap pertahankan agama dan yang ditolak adalah (sikap) ekstremis dan sikap tiada toleransi antara agama yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Dataran Rantau, di sini malam tadi.
Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.
Anwar berkata, apa yang menjadi keutamaan dalam perjuangan PKR dan PH pada ketika ini adalah ketegasan untuk menolak rasuah dan penyelewengan.
"Ini termasuk mendedahkan dan mengheret orang yang terbabit ke mahkamah. Sekarang kita tidak lagi melihat reformis beratur di luar mahkamah kita lihat penyokong ‘bosku’ (merujuk Datuk Seri Najib Razak) di luar mahkamah.
"Tetapi bezanya bukan kita merekayasa, bukan kita fitnah, bukan kita hasut, atau kita dendam, tapi kita siapkan keterangan dan fakta supaya orang yang bertanggungjawab merompak khazanah negara harus dihukum dan mengganti balik wang dirompak dari rakyat," katanya.
Anwar ketika memberi ucapan pada Majlis Sambutan 20 Tahun PKR di Dataran Rantau. - Foto BERNAMA |
Beliau juga berkata walaupun ada pendekatan yang diambil beliau berbeza dengan beberapa pemimpin dalam PH termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, matlamat perjuangan tetap sama.
"Ini tidak ada bertolak ansur. Walaupun ada kata saya ada perbezaan dengan Dr Mahathir, tidak ada perbezaan. Ini negara hukum. Kalau dulu kami juga ramai yang diheret, sama ada dihukum dan ditelanjangkan," katanya.
Menyentuh masa depan PKR, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata parti itu mesti membuktikan agenda mereformasi negara menjadi fokus utama dan matlamat nasional.
Katanya, walaupun ketika penubuhan PKR ramai yang sangsi sama ada parti ini mampu membawa agenda untuk semua kaum, kini berjaya dibuktikan apabila menjadi parti yang memiliki suara terbesar dalam kerajaan.
"Mereka dulu kata tidak mungkin PKR boleh bawa imej parti pelbagai kaum orang belum bersedia tetapi nyata saudara, bahawa ini adalah parti untuk Malaysia dan masa depan negara ini.
"Keanggotaan majoriti (PKR) masih Melayu, Cina, India dan Dayak juga ramai. Kawasan Dayak yang jauh tidak diduga boleh dimenangi calon PKR. Majoriti kita Melayu dan keanggotaan India dalam PKR melebihi keanggotaan India dalam MIC," katanya.
SUMBER -BERITA HARIAN
Post a Comment