Header Ads

KDN Laksana Pemutihan PATI

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Subscribe Channel Kami di Youtube

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan program pengampunan (pemutihan) bagi membolehkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) pulang ke negara asal secara sukarela.



Kesalahan berkenaan membabitkan Seksyen 15(1) (c) iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah mengikut Akta 155.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program pemutihan berkenaan juga sudah mendapat persetujuan Pejabat Peguam Negara dan akan bermula dari 1 Ogos ini hingga 31 Disember depan.

Beliau berkata, bayaran kompaun dikenakan ialah RM700 bagi setiap warga asing menyertai program terbabit.

Katanya, program berkenaan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia tanpa pembabitan pihak ketiga atau syarikat penyumberan luar dan dijalankan oleh 200 anggota serta pegawainya di 80 kaunter di pejabat Imigresen di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Warga asing terbabit perlu membawa dokumen perjalanan sah (pasport dan sijil perjalanan kecemasan) serta tiket untuk pulang ke negara asal selepas tujuh hari permohonan dibuat.

“Kita berharap PATI yang menyertai program ini akan pulang ke tanah air dan jika boleh, mereka tidak kembali ke Malaysia untuk selamanya,” katanya pada sidang media selepas melawat kaunter perkhidmatan Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihaknya berharap pihak kedutaan atau suruhanjaya tinggi asing di Malaysia diminta memberi kerjasama sepenuhnya bagi mengeluarkan dokumen perjalanan kepada rakyat masing-masing yang menyertai program berkenaan.

“Tujuan utama program ini untuk menyelesaikan masalah PATI di Malaysia yang ramai bilangannya. Saya sendiri tidak tahu bilangan sebenar dan sebab itu kita lakukan operasi bersepadu khas pada masa lalu.

“Selepas tempoh berkenaan tamat (selepas tengah malam 31 Disember 2019) sekiranya ada lagi majikan menggaji atau melindungi PATI, kita akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Imigresen termasuk denda, penjara dan sebatan,” katanya.

Beliau berkata, semua pekerja asing berkenaan juga akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia seumur hidup selepas keluar dari negara ini menerusi program berkenaan.

“Justeru, kita menjangka kira-kira 300,000 hingga 400,000 PATI menyertai program pengampunan sebelum operasi besar-besaran dilaksanakan selepas 31 Disember nanti,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Jabatan Imigresen sudah membuat laporan polis berhubung penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Kementerian juga sudah mengeluarkan tender bagi membangunkan sistem bersepadu bagi menggantikan MyIMMs dan akan lebih menyeluruh serta bertaraf antarabangsa,” katanya.



SUMBER - BERITA HARIAN

          Subscribe Channel Kami di Youtube
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?