Header Ads

Kerja Penambahbaikan Di LRA SSP1 Perlu, Kritikal - Air Selangor

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Subscribe Channel Kami di Youtube

KERJA penambahbaikan di Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1). - Foto ihsan Air Selangor

SHAH ALAM: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menjalankan tujuh kerja utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang membabitkan hentitugas loji bermula jam 9.00 pagi 23 Julai ini.

Tujuh kerja utama itu membabitkan penggantian beberapa peralatan loji dan injap serta meter ‘Bulk Supply Rate’ (BSR Meter) sudah menjangkau usia 15 hingga 20 tahun yang boleh mengalami kerosakan pada bila-bila masa.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad, berkata pelaksanaan kerja penambahbaikan itu perlu serta kritikal supaya kerosakan teruk tidak berlaku dan menyebabkan tempoh hentitugas loji mengambil masa lebih lama, selain gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pelanggan.

“Audit teknikal dijalankan selepas pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) dimuktamadkan pada April 2019 dan hasil audit mendapati beberapa peralatan penting perlu diganti.

“Kerja penambahbaikan juga perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan sebarang gangguan tidak berjadual yang boleh memberi kesan dan impak gangguan bekalan lebih besar.

“Kita tidak mahu berlaku hentitugas loji yang mengambil masa lebih lama dan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Raof berkata, Air Selangor juga akan melaksanakan 28 kerja tumpang bagi penggantian dan menaik taraf sistem agihan dalam tempoh hentitugas LRA SSP1.

Beliau berkata, pelaksanaan kerja tumpang itu akan dapat meminimum dan mengelakkan gangguan pada masa depan berikutan pelaksanaan kerja penyelenggaraan serta baik pulih di sistem agihan.

“Segala persiapan sudah dibuat secara rapi, malah pihak kami komited dan berusaha memastikan kerja penambahbaikan ini berjalan lancar seperti dijadualkan serta meminimumkan impak gangguan kepada pelanggan yang terjejas,” katanya.

LRA SSP1 beroperasi mulai 1993 dan hentitugas terakhir bagi kerja penambahbaikan dijalankan ialah pada 2012.

Media sebelum ini melaporkan seramai 3.22 juta penduduk di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dijangka terjejas susulan kerja penambahbaikan LRA SSP1 yang bermula 23 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman, dipetik sebagai berkata sebanyak 758 kawasan di tujuh kawasan dijangka mengalami masalah gangguan air berjadual antara 36 hingga 84 jam.

Kawasan terbabit ialah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

SUMBER - BERITA HARIAN

          Subscribe Channel Kami di Youtube
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?