Header Ads

Tragedi 9 Maut Tanah Runtuh: Kontraktor Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus Didakwa

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Subscribe Channel Kami di Youtube

Lai Sin Kian ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Kontraktor utama pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong, projek terbabit dalam tragedi tanah runtuh tahun lalu yang menyebabkan kematian sembilan pekerja, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.


Syarikat itu, Yuta Maju Sdn Bhd (Yuta Maju) yang diwakili pengarahnya, Lai Sin Kian bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Bagi pertuduhan pertama, Yuta Maju didakwa mengikut Seksyen 29(2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) kerana gagal melantik pegawai keselamatan dan kesihatan yang kompeten di tempat kerja.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Syarikat itu juga didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan ‘beam’ jatuh dari ‘span’ enam, pada 11 Oktober tahun lalu.
Bagi pertuduhan ketiga dan terakhir, Yuta Maju dan Sin Kian masing-masing didakwa gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja ‘backfill’ tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada 19 Oktober.
Untuk pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, syarikat itu dan Sin Kian didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang memperuntukkan denda RM50,000 atau dua tahun penjara, jika sabit kesalahan.
Mazdi menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan kes dan tiada tawaran jaminan diberikan kepada Sin Kian.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH), Norliza Abu Othman, manakala Yuta Maju diwakili peguam, S Kanesh.
Februari lalu, Jawatankuasa Siasatan Bukit Kukus menyatakan empat pihak, termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek itu pada 19 Oktober lalu.
Pengerusinya yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata Yuta Maju dikenal pasti sebagai pihak pertama, dianggap tidak melakukan kerja mitigasi memuaskan selain cerun sementara yang dibina tidak direkabentuk jurutera perunding bertauliah.
Dalam kejadian berkenaan, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus, manakala tiga lagi cedera di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.


Projek yang bernilai RM530 juta itu adalah jalan bertingkat alternatif yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam dan Lebuh Bukit Jambul.

SUMBER - BERITA HARIAN
           Subscribe Channel Kami di Youtube
             LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?