Najib Dipindahkan Ke Mahkamah Tinggi Kes Penggubahan Wang Haram
KUALA
LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa kes bekas Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tiga pertuduhan
tambahan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd
berjumlah RM27 juta, telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Timbalan
Pendakwa Raya Manoj Kurup memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di
hadapan Hakim Azura Alwi, yang turut dihadiri peguam Tan Sri Muhammad
Shafee Abdullah, yang mewakili Najib.
Manoj
berkata, pada 11 Februari lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd
Ghazali telah membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes yang
dihadapi bekas perdana menteri itu dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen
ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun tarikh sebutan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi masih belum ditetapkan.
Hakim Azura kemudiannya memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Pada
8 Februari lalu, Najib, 66, didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di
sini dengan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram melibatkan
dana berjumlah RM27 juta, lima tahun lalu.
Mengikut
ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa melibatkan diri dalam
pengubahan wang haram dengan menerima masing-masing RM27 juta, RM10 juta
dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga
akaun AmPrivate Banking miliknya.
Anggota
Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesemua kesalahan di AmIslamic
Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8
Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang
Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan
hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun
atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara
itu di Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan menetapkan 13 Mac depan untuk
pengurusan kes Najib, yang berdepan tujuh pertuduhan membabitkan dana
SRC International berjumlah RM42 juta selepas Peguam Negara Tommy Thomas
memohon tarikh berkenaan ketika sebutan kes itu, hari ini.
Thomas,
yang mengetuai pasukan pendakwaan turut memaklumkan kepada mahkamah
bahawa rayuan Najib telah ditetapkan untuk pendengaran pada 11 dan 12
Mac ini di Mahkamah Rayuan.
Pada
tarikh berkenaan, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib berhubung
perintah larangan ke atas media untuk membincangkan merit kes jenayah
beliau; penzahiran dokumen dan pernyataan serta tindakan beliau mencabar
pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan
pendakwaan dalam kes melibatkan tujuh pertuduhan berkaitan SRC
International.
Mahkamah
Rayuan juga akan mendengar rayuan Najib ke atas penarikan balik sijil
pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
– BERNAMA
Post a Comment