Warga Emas Trauma Diacu Parang
KLANG – Seorang warga emas bersama anaknya berdepan detik cemas apabila disamun sekumpulan lelaki di rumahnya, di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, di sini, semalam.
Menurut Fatimah Abdullah, 72, ketika kejadian dia berada di luar rumah sebelum didatangi suspek.
“Seorang terus meluru ke arah dan mengacukan parang ke badan makcik, manakala empat lagi masuk ke rumah. Seorang berada di luar pagar manakala seorang lagi berada di atas motor.
“Suspek minta makcik jangan menjerit dan masuk ke dalam rumah tapi makcik berkeras. Makcik minta agar mereka tak apa-apakan anak dan cucu makcik,” katanya ketika ditemui di kediamannya, tadi.
Katanya, ketika itu dia hanya memikirkan keselamatan anak serta cucunya.
“Makcik minta supaya mereka jangan apa-apakan cucu makcik yang sedang tidur dalam buaian,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Noraini Abdul Gani, 34, berkata, dia berada di dalam rumah bersama ayah, abang dan anaknya.
“Saya tengah lipat kain manakala ayah dan anak saya sedang tidur di dalam bilik. Abang pula berada di dalam tandas.
“Tiba-tiba datang empat lelaki meluru masuk ke dalam rumah, salah seorang daripada mereka acukan parang dan selak leher baju minta saya serahkan barang kemas.
“Saya beritahu yang saya memang tak pakai barang kemas dan dia terus rampas telefon Samsung S7 Edge milik saya,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Katanya, dia tidak dapat mengecam suspek terbabit kerana mereka memakai topi keledar bertutup.
“Saya yakin mereka warga tempatan disebabkan gaya percakapan mereka.
“Kejadian berlaku sangat pantas, tak sampai lima minit hinggakan ayah dengan abang pun tak sedar apa yang berlaku.
“Jiran-jiran dengar bunyi bising tapi mereka ingat tiada apa-apa yang berlaku sebab mak selalu bising bila marah anak-anak,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pelabuhan Klang sejurus selepas kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian samun dalam rumah menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM15,000.
“Kegiatan ini dilakukan oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menaiki motosikal jenis Yamaha 125-Z.
“Mereka menyerang mangsa yang berseorangan di kawasan rumah dengan bersenjatakan parang serta meminta mangsa menyerahkan barangan berharga,” katanya.
Katanya, kes siasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata
Sumber Sinar Harian
Post a Comment