Header Ads

Bukan Saya Lawan Anwar - Mohamad Hasan

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
MOHAMAD Hasan pada sidang media di Bilik Gerakan BN di Rantau, hari ini. - Foto BERNAMA


SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menolak tanggapan kononnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, sebenarnya pertembungan di antara beliau selaku calon mewakili Barisan Nasional (BN) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata Anwar sebagai Presiden PKR memang sepatutnya turun berkempen di Rantau bagi membantu calon parti diterajuinya, Dr S Streram.



“Anwar adalah Presiden PKR, maka menjadi hak beliau untuk turun berkempen. Sama macam saya juga, pemimpin parti dan saya pun turun berkempen. Yang penting kita berkempen secara matang,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan BN di Rantau, dekat sini hari ini.

Sesetengah pemerhati politik sebelum ini melihat PRK terbabit yang akan diadakan pada 13 April ini sebenarnya adalah pertembungan di antara bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dengan Anwar yang terbabit secara sepenuh masa berkempen di kawasan berkenaan.

Mengulas kecederungan pengundi bukan Melayu yang dikatakan tidak peduli siapa calon ditampilkan Pakatan Harapan (PH) dan akan menyokong gabungan parti terbabit, Mohamad berkata, dalam sistem demokrasi, adalah menjadi hak pengundi untuk memilih sesiapa sahaja.

“Yang penting, ‘the best man win’ (siapa yang terbaik menang). Yang penting, kita berkempen secara matang,” katanya.

Hujung bulan lalu, Mohamad dilaporkan berkata, beliau tidak gentar dengan pembabitan sepenuh masa Anwar membantu kempen calon PH di situ, malah menyifatkan kehadiran nama besar PKR itu tidak mengancam peluangnya untuk mempertahankan kerusi Rantau yang disandang sejak 2004.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Mohamad dan Dr Streram serta dua calon Bebas, iaitu suri rumah, R Malar dan bekas pensyarah, Mohamad Nor Yassin.

Sementara itu, Mohamad yang menjalankan tugas Presiden UMNO menafikan BN menawarkan ganjaran RM50 kepada pengundi yang memilih beliau pada PRK berkenaan.

Beliau mendakwa, ada menerima aduan dari beberapa pengundi yang memaklumkan menerima panggilan telefon daripada individu tertentu yang memberitahu mereka akan dibayar RM50 jika mengundi BN.

Susulan itu, Mohamad menasihatkan pengundi yang menerima panggilan seumpama itu supaya membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan siasatan serta tindakan diambil pihak berkenaan.

“Tindakan ini dipercayai sengaja dilakukan pihak tertentu untuk memburukkan imej BN khususnya kepada kalangan pengundi. Saya nafikan tindakan (tawarkan RM50 kepada pengundi) dilakukan jentera BN,” katanya sambil meminta SPR menjalankan siasatan secara telus dalam kes itu.

SUMBER - BERITA HARIAN

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?