Laporan CEP Tidak Didedahkan Sekarang - PM
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
TUN Dr Mahathir Mohamad. |
KUALA LUMPUR: Laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak akan didedahkan kepada umum buat masa ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, ia mungkin didedahkan kepada umum pada masa depan selepas tindakan susulan diambil dan tiada tindakan saman malu dikenakan.
“Ketika ini banyak cadangan dan nasihat yang diberi CEP dilaksanakan kerajaan.
“Soal sama ada kita boleh mendedahkan laporan CEP, belum sampai masanya, mungkin masa depan apabila sudah ambil tindakan dan tidak lagi berkemungkinan dikenakan saman malu,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi bertanya sama ada kerajaan sedia mempertimbangkan untuk menerbitkan laporan CEP.
Kepada soalan asal Fahmi, Perdana Menteri berkata, laporan akhir CEP sudah dibentangkan kepadanya manakala arahan pelaksanaan diserahkan kepada Pusat Governans Integriti dan Antirasuah Nasional (GICC) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk diselaraskan.
Dr Mahathir berkata, laporan CEP adalah di bawah bidang kuasa dan menjadi urusan rasmi kerajaan, maka semua ahli CEP dan pegawai terbabit secara langsung tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
“CEP hanya berperanan sebagai badan penasihat dan kerajaan perlu berhati-hati dalam memutuskan sama ada laporan itu wajar didedahkan atau tidak kerana beberapa dapatan mereka memerlukan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Ini bertujuan mengelak polemik yang boleh menjejaskan hasil siasatan dan keyakinan pelabur, apa yang penting cadangan penambahbaikan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Dalam soalan asal, Fahmi bertanya sama ada kerajaan bersedia menerbitkan laporan CEP berdasarkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan kebebasan maklumat demi mengelak fitnah dan persepsi tidak betul, terutama apabila orang ramai mengetahui OSA pernah disalah guna pentadbiran terdahulu untuk menyembunyikan salah laku.
Perdana Menteri berkata, apabila Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat besar menubuhkan kerajaan, wujud keperluan bagi proses peralihan kuasa berjalan lancar tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur.
Beliau berkata, buat pertama kalinya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sejak merdeka bertukar, sekali gus berlaku perubahan landskap politik negara.
“Sudah tentu dalam rakyat meraikan perubahan, wujud kebimbangan peniaga dan pelabur asing terhadap keupayaan PH mentadbir kerajaan.
“Justeru, saya putuskan untuk menubuhkan CEP dengan matlamat utama menasihati kerajaan dalam bidang ekonomi, kewangan dan bidang lain yang perlu diberi perhatian terutama dalam tempoh 100 hari peralihan kerajaan.
“CEP melaksanakan tanggungjawab dibantu sekretariat, dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi serta dua pasukan petugas khas.
“CEP ditamatkan tugas secara rasmi pada 19 Ogos 2018,” katanya.
SUMBER - BERITA HARIAN
Post a Comment