McGregor Belum Serik Dibelasah Khabib
McGregor dan Khabib beraksi dalam pertarungan di Las Vegas, Oktober lalu. |
LOS ANGELES: Bintang seni bela diri campuran Conor McGregor memberi isyarat yang dia mungkin tidak jadi bersara selepas sekali lagi bergaduh di media sosial dengan pesaingnya Khabib Nurmagomedov.
Dalam satu status di Twitter yang dimuat naik seminggu selepas dia mengumumkan akan bersara, atlet bermulut celupar dari Ireland itu berkata dia masih belum puas bertarung.
“Saya mahu terus mara, dengan peminat-peminat saya daripada semua kepercayaan dan latar belakang,” kata McGregor. “Semua kepercayaan mencabar kita untuk menjadi yang terbaik. Ia dunia yang satu dan satu untuk semua. Sekarang jumpa anda di Octagon.”
Status McGregor itu kelihatan seperti jawapan kepada kritikan dilemparkan terhadapnya selepas dia dalam status sebelumnya menghina isteri Khabib dan agama Islam dianuti pasangan berkenaan. McGregor kemudian memadamkan status berkenaan.
Khabib bagaimanapun sempat membalas penghinaan berkenaan dengan mengingatkan McGregor tentang tuduhan serangan seksual dihadapi seterunya itu di Ireland , seperti dilaporkan New York Times.
“Anda seorang hipokrit yang tidak bertanggungjawab di atas tindakan anda,” kata Khabib. “Keadilan akan ditegakkan terhadap anda. Kita akan lihat.”
Khabib menewaskan McGregor dalam pertarungan Oktober lalu di Las Vegas yang dicemari insiden pergaduhan di tepi gelanggang.
Pada Januari, Jawatankuasa Olahraga Nevada mengenakan hukuman gantung enam bulan terhadap McGregor kerana terbabit dalam pergaduhan selepas pertarungan berkenaan.
SUMBER - AFP
Post a Comment